.. ..

Archive for November, 2008

MENINGKATKAN INTEGRITI DIRI

Zakaria Mohamad November 12th, 2008

Sejak dilancarkan pada April 2004, Pelan Integriti Nasional (PIN) telah menjadi satu agenda dan gerakan peringkat Nasional di Malaysia. Sejak itu, telah banyak program digerakan dikalangan rakyat, terutama penjawat awam. Integriti telah menjadi asas kepada pembentukan sebuah negara maju dengan nilai dan acuan kita sendiri.

Dalam sebuah negara yang memiliki masyarakat majmuk, adalah wajar bagi pihak pemerintah mempunyai suatu dasar umum untuk membangunkan masyarakatnya. Suatu dasar yang dapat diterima oleh semua masyarakatnya yang terdiri dari pelbagai agama dan kepercayaan. Namun, disebalik kepelbagaian kepercayaan dan anutan itu, kita boleh satukan nilai-nilai murni yang bersifat universal dan dapat diterima oleh semua golongan. Bagi umat Islam, kita mahu tingkatkan integriti masyarakat melalui kaedah dan pendekatan Islam. Bagi masyarakat Buddha dan Hindu atau Kristian, mereka tentunya lebih selesa dengan pendekatan agama mereka sendiri.

Agama bukan penghalang kemajuan. Semua sejarah tamaddun manusia telah dibangunkan melalui keyakinan dan nilai-nilai agama anutan mereka sendiri. Oleh itu, tidak salah bagi masyarakat majmuk Malaysia yang diberi hak dan peluang untuk mengamalkan agama masing-masing membangun dengan nilai-nilai agama mereka sendiri, disamping menerima Islam sebagai agama rasmi negara. Hal ini adalah selaras dengan prinsip rukun negara kita sendiri iaitu “Percaya Kepada Tuhan”.

Dalam hal in, kita sangat mengharapkan agar pihak pemerintah dapat melahirkan modul-modul yang sesuai untuk diterima pakai oleh masyarakat kita dalam membangun dan meningkatkan integriti diri. Sudah tiba masanya para ulamak dan cerdik pandai Islam kita diajak bersama dalam merumuskan dasar nasional dengan pendekatan yang baru ini. Kalau selama ini, pendekatan kita kepada konsep fardhu air dan kifayah sahaja. Kini tuntutannya lebih luas lagi. Kita mahu melahirkan insan-insan yang memiliki ‘multi talented’ dengan kekuatan agama dengan nilai-nilai kerohaniannya. Semoga sejarah dan semangat kegemilangan umat terdahulu dapat dihidupkan kembali. Sama-samalah kita tunggu..

Sebagai insan dan rakyat bawahan biasa, semua orang berhak menyuarakan pendapat dan buah fikiran mereka sendiri. Apatah lagi dalam dunia era blog kini, kita boleh memberi pandangan kita sekiranya kita mempunyai pandangan dan kemampuan tersendiri.

Bagi saya, masalah negara bermula dengan diri kita sendiri. Sejarah dunia Islam lahir dari insan-insan muslim yang berwibawa. Sekiranya kita mahu mengembalikan sejarah keagungan kita, kita perlu kembali kepada asas kekuatan yang ada pada zaman keagungan tersebut. Asas Islam mudah dan ringan. Ia bermula dengan diri sendiri. Setiap orang harus bangkit menjadi model kepada orang sekelilingnya. Setiap orang adalah pemimpin, dan dia bertanggungjawab kepada kepimpinannya. Setiap orang adalah model yang baik.

Dalam latihan membangun dan meningkatkan integriti umat, kita juga harus menumpukan dari yang asas dan diikuti dengan yang lain. Setiap orang perlu dilatih untuk mengurus dan memimpin dirinya sendiri. Perkara asas yang telah ditekankan oleh Rasulullah dalam membangunkan umat terdahulu ialah mengajar dua perkara asas iaitu:- 1) jaga makan dan 2) jaga tidurnya. Sekiranya dua perkara asas ini dapat dijaga, diurustadbir keatas diri sendiri dengan baik dan berkesan, maka lahirkan sifat-sifat yang hebat untuk membangun menjadi insan yang hebat pula. Insya Allah kita bincang di lain kesempatan.

BUDAYAKAN INTEGRITI

Zakaria Mohamad November 11th, 2008

Rasa kurang sedap badan dan batuk-batuk. Namun elok rasanya kalau diisikan waktu dengan mengemaskinikan blog. Pagi tadi saya telah bersama dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah Kemaman dalam seminarnya “Bersama Hapuskan Rasuah, Bersama Membasmi Dadah”. Saya telah dijemput dan telah mengambil bahagian sebagai salah seorang penceramah dalam seminar itu.

Saya datang awal bersama para peserta dan telah bersama mengikuti slot pertama yang telah diisi oleh Tuan Yasin Mohd Yusuf, Penguasa BPR Negeri Terengganu. Sebagai seorang penceramah motivasi , banyak juga yang sempat saya catit dan pelajari dari penceramah pertama itu. Pertama kali saya berpeluang mendapat huraian tentang pengertian, maksud dan kehendak perkataan integriti itu sendiri.

Antara saranannya ialah -Semua pihak perlu memainkan peranan dan tanggungjawab menyemai sikap integriti dalam kehidupan seharian. Sikap ini amat penting untuk diamal bagi membina masyarakat bermoral dan beretika kearah komuniti yang bebas rasuah. Manakala konsep integriti dikatakan amat luas dan tidak terbatas dikalangan penjawat awam tetapi harus dimulai dari institusi keluargaan hinggalah keperingkat yang lebih tinggi lagi.

Amalan membudayakan integriti dalam kehidupan seharusnya sudah disemai bermula pada usia muda sehinggalah kita menjadi seorang pemimpin dalam sesebuah kelompok, organisasi atau negara. Malah integriti merupakan kriteria utama yang harus ada pada seseorang pemimpin atau pengurus.

Dalam hal ini, pihak Kerajaan Malaysia telah menubuhkan ‘Institut Integriti Malaysia (IIM), yang ditubuhkan sebagai sebuah badan autonomi dan didaftarkan dibawah akta syarikat sebagai melengkapkan usaha-usaha perlaksanaan ‘Pelan Integriti Nasional (PIN). Antara visi IIM ialah untuk ” Membentuk masyarakat Malaysia yang beretika dan berintegriti di mana warganya mempunyai nilai-nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh dan ditunjangi oleh budi pekerti yang mulia”.

Program tadi telah dianjurkan bersama BPR dan AADK Daerah Kemaman dan dihadiri oleh ketua-ketua jabatan atau wakil-wakil jabatan kerajaan dan organisasi swasta. Yang menariknya, saya telah mempelajari satu istilah baru dalam bidang pembangunan insan. Kalau selama ini, ia lebih dikenali sebagai “Membina Jati Diri” kini dikenali “integriti”. Walau apa istilah dan sebutannya, mauduknya ialah pihak kerajaan mahu kakitangannya bebas dari rasuah dengan mengamalkan sikap amanah, ikhlas dan bertanggungjawab. Hasrat kerajaan ialah mahu melahirkan golongan pekerja yang mempunyai nilai peribadi mulia pada setiap orang.

Hasrat dan usaha kerajaan memang baik dan perlu disokong. Soal perlaksanaan dan keberkesanannya, itu cerita lain pula. Di zaman yang semakin mencabar ini, manusia yang bermaruah, bermoral dan berakhlak mulia diperlukan dalam semua bidang pekerjaan dan kehidupan. Sudah tentu, hasrat yang besar ini tidak mampu untuk dibangunkan dalam waktu yang singkat dengan seminar dan pendekatan secara luaran semata. Ia memerlukan satu pendekatan holistik yang menyeluruh dalam aspek membangunkan nilai-nilai manusia sebagai hamba tuhan dan khalifah Allah di muka bumi ini.

Walau apa pun, saya tetap amat bersyukur dan berterima kasih kerana telah diberi peluang untuk bersama-sama dalam program sebegitu.