ALLAH HU AKBAR.. ALLAH HU AKBAR.. ALLAH HU AKBAR. ALLAH HU AKBAR WALILLAH HILHAM..
Alhamdulillah, umat Islam telah selesai merayakan Hari Raya Aidul Adha di seluruh dunia. Aktiviti utama yang berkaitan dengan Hari Raya Aidul Adha ini ialah acara melontar sebagai salah satu rukun hari di Mina, dan acara penyembelihan binatang oleh umat Islam di serata dunia. Serantak dengan itu, umat Islam menyambutnya dengan bertakbir di masjid dan surau serta melakukan ibadah penyembelihan korban.
Apabila Hari Raya Aidul Adha berlalu pergi, apakah semangat dan kekuatannya turut berlalu pergi. Saya harap tidak begitu. Bagi saya, Hari Raya Aidul Adha kali ini merupakan Hari Raya yang paling penting bagi umat Islam untuk muhasabah diri dan meningkatkan iman kita. Di kala dunia semakin tidak menentu, kita perlu meningkatkan tahap pengorbanan dan kesiap-siagaan kita dalam menghadapi apa juga cabaran baru yang mendatang.
Ekonomi dunia dikatakan semakin suram. Ada orang yang benar-benar faham apa yang sedang berlaku, namun rata-rata umat Islam tidak begitu faham dengan perkembangan ekonomi dunia dan trend ekonomi semasa di sekeliling mereka. Masakan mereka mampu untuk memahami perkembangan ekonomi dunia, sedangkan permasalahan ekonomi dalam keluarga dan rumah tangga sendiri masih tidak mampu untuk diuruskan dengan sebaiknya. Inilah nasib umat Islam kini yang rata-rata masih hidup di bawah paras kemiskinan. Malah masih ramai umat Islam yang buta huruf dan sedang berlawan dengan pelbagai jenis penyakit kronik yang tiada penhujungnya.
Nasib umat Islam adalah tanggungjawab umat Islam sendiri. Masa depan kita adalah tanggungjawab kita sendiri. Kita tidak boleh terus mengharapkan bantuan ‘orang luar’ untuk membantu kita. Untuk itu, sudah tiba masanya bagi seluruh umat Islam menghentikan persengketaan sesama sendiri. Umat Islam mesti bersatu untuk bangkit memajukan diri serta ummah. Semoga ibadah korban yang kita baru lakukan itu dapat meningkatkan semangat pengorbanan kita untuk membina dunia baru yang lebih aman, bebas dari penyakit dan kelemahan oleh diri kita sendiri..